Keratan dari Utusan Malaysia 24 September 2011....
JOHOR BAHRU 23 Sept. – Seramai 500 pengunjung menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Johor, yang diadakan di lobi Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini.
Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Othman; Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Elias Hasran dan Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Amin Dainuri.
Pada majlis itu, para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah antaranya sate, laksa Johor, burasak, rendang, roti jala, buah-buahan, kuih-muih serta pelbagai jenis minuman menerusi 15 gerai yang disediakan.
Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Johor, Lokman Hakim Tuan Kamaludin berkata, apa yang menarik pada sambutan itu, pihaknya turut mengadakan pertandingan antara gerai yang dipilih berdasarkan tiga kriteria iaitu enak, kreatif dan inovatif serta kebersihan.
Lokman Hakim berkata, menerusi pertandingan itu johan dimenangi gerai minuman yang dikendalikan gabungan unit keselamatan, kebersihan dan landskap sementara tempat kedua jatuh kepada gerai yang menghidangkan burasak, bakso dan asam pedas, kendalian Mahkamah Kluang dan Pontian.
“Tempat ketiga pula menjadi milik Pejabat Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang diketuai oleh Amin sendiri dengan menu istimewa iaitu asam pedas ikan kaci dan ikan jahan, taugeh goreng, sambal belacan serta ulam-ulaman,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Menurut Lokman Hakim, ia adalah pendekatan untuk merapatkan hubungan antara warga institusi kehakiman syariah di negeri itu yang mana pelbagai unit dan jabatan diundang serta disatukan dalam majlis tersebut.
“Selain kakitangan mahkmah dan kakitangan sokongan, kita turut melibatkan kumpulan peguam, polis, unit keselamatan, bahagian kebersihan dan landskap untuk sama-sama meraikan sambutan Aidilfitri ini,” katanya.